Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicadangkan agar menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh ketua pesuruhjaya itu.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, Pengerusi Lembaga Penasihat itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang juga perlu memastikan jawatankuasa berkenaan dibarisi Ahli Parlimen pro kerajaan dan pembangkang, wakil NGO yang bermaruah, Majlis Peguam, wakil Jabatan Peguam Negara, Jabatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman dan lain-lain individu yang berintegriti.

Katanya, beliau juga bersedia untuk berada dalam jawatankuasa bebas itu secara sukarela tanpa apa-apa bayaran elaun.

“Saya difahamkan, Abu Zahar dan Tan Sri Azam Baki akan mengadakan sidang media berkaitan isu itu di Putrajaya petang ini.

“Tujuan sidang media itu dikatakan untuk menjawab segala tuduhan terhadap Azam berkaitan saham yang dimilikinya serta isu-isu berkaitan.

“Tujuannya sudah terang lagi bersuluh. Ianya untuk memberi penjelasan dan membersih Ketua Pesuruhjaya itu yang kini dipersoalkan integritinya,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Ibrahim mendakwa, sudah tentu dalam sidang media itu yang dihadiri bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, jawapannya sudah diketahui umum iaitu bersih, tidak ada salah laku dan semuanya fitnah untuk memburuk Azam.

Sehubungan itu, menurut beliau, jawatankuasa bebas seharusnya diberi hak untuk menyelongkar segala maklumat dengan semua pihak dan diberi masa tiga bulan bagi menyediakan laporan siasatan.

“Laporan ini kelak perlu dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang dan jika tiada salah laku, maka nama baik Azam dapat dibersihkan tanpa sebarang persepsi buruk.

“Dengan adanya jawatankuasa bebas itu, tidak perlulah Abu Zahar bersusah payah mengadakan sidang media kalau sekadar untuk berkokok, tapi ayam tidak bertelur. Rakyat mahu laporan bebas dan berintegriti.

“Perlu ingat, agensi SPRM sudah tercabar, tercalit dan mula diragui oleh rakyat dengan isu berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast