Shahbudin Embun

PUTRAJAYA – Penjelasan yang dibuat oleh Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan kononnya beliau melakukan salah laku mendapat reaksi positif Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM).

Pengerusi Biro Politik MPM, Shahbudin Embun berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Katanya, menerusi penjelasan tersebut, ternyata terdapat usaha oleh pihak tertentu yang cuba untuk menjatuhkan integriti penjawat awam seperti Azam sekaligus menghakis kepercayaan masyarakat terhadap badan penguat kuasa undang-undang.

“Kami telah mendengar ke atas perkara yang dibangkitkan….sebenarnya tiada isu langsung. Sebagaimana yang dikatakan oleh KP SPRM, ini perkara biasa.

“Tidak ada menyentuh hal kerja, integriti atau apa sekali pun. Ini adalah perbuatan ada niat dan motif untuk mengaitkan dengan keadaan politik negara yang tidak berapa stabil terutamanya oleh pembangkang.

“Mereka telah menggunakan isu saham ini untuk mencemarkan nama SPRM dan akhirnya, impak itu akan jatuh kepada kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas sidang media khas Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di sini hari ini.

Beliau yang mendapat undangan untuk hadir sidang media berkenaan berkata, masalah akan timbul sekiranya rakyat mempercayai tuduhan yang dibuat oleh pihak terbabit ke atas SPRM.

Katanya, apa yang terjadi kepada Azam juga berlaku kepada orang lain kerana ia merupakan isu yang melibatkan keluarga iaitu antara seorang abang dengan adiknya.

Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang bermotifkan politik dan dilakukan oleh parti-parti politik atau individu tertentu dengan tujuan untuk merosakkan negara.

Tambah beliau, perkara seperti itu harus dihentikan kerana ia boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap perkembangan negara dan masyarakat.

Hari ini, Azam membuat penafian pembabitannya di beberapa syarikat seperti dakwaan sesetengah pihak.

Menjelaskan perkara itu, Azam berkata, tuduhan terdapat ‘konflik kepentingan’ terhadapnya adalah tidak berasas.

Tegasnya, terdapat usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM bagi mengambil kesempatan untuk terus menghakis kepercayaan masyarakat ke atas SPRM dengan menjadikan institusi Ketua Pesuruhjaya sebagai sasaran serangan bertubi-tubi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Azam dakwa pihak tertentu melakukan penipuan besar

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast