KUALA LUMPUR – Tan Sri Zarinah Anwar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah wanita pertama Universiti Malaya berkuat kuasa 13 Disember 2021 bagi tempoh tiga tahun.

Pelantikan ini dibuat menerusi surat yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 10 Disember lalu, selaras dengan peruntukan Seksyen 17 (1) (a) Perlembagaan Universiti Malaya (Pengerusi).

Beliau merupakan alumni Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya juga tokoh korporat terkenal memegang jawatan-jawatan penting seperti Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Petroliam Nasional Berhad sejak 17 Ogos 2015, Pengerusi, Debt Ventures Berhad Malaysia, ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad dan Pemegang Amanah Razak School of Government, Yayasan Hasanah dan Yayasan Jeffrey Cheah.

Pengalaman dalam bidang korporat beliau telah membawa kepada pelantikan beliau dalam pelbagai jawatan serta pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Di pentas dunia, beliau ialah Felo Abdullah bin Abdulaziz di Oxford Centre for Islamic Studies United Kingdom, ahli Lembaga Penasihat Pihak Berkuasa Sekuriti dan Komoditi Emirates, Emiriah Arab Bersatu.

Beliau juga adalah Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), ahli Majlis Penasihat Akademik Universiti Teknologi PETRONAS, dan juga berkhidmat sebagai ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan mengenai Wanita.

Zarinah juga merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaya (SC) dan Timbalan Pengerusi Shell Malaysia.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, Universiti Malaya amat mengalu-alukan pelantikan ini memandangkan Zarinah merupakan individu yang tidak asing dalam bidang korporat.

”Semoga dengan pelantikan Tan Sri Zarinah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya akan terus membawa Universiti Malaya sebagai Universiti berbakti untuk negara, memberi impak pada dunia,” katanya. – MalaysiaGazette