Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman bercakap pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen ke-44 di Bangunan Canselori Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

SERDANG – Seramai 5,695 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44 bermula Sabtu ini.

Daripada jumlah itu, 398 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1093 Ijazah Sarjana (Master), 3544 Bacelor dan 660 menerima diploma.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, majlis akan berlangsung selama enam hari bermula pada 8 Januari hingga 13 Januari 2022 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

“Majlis konvokesyen ini merupakan yang pertama sejak negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya dalam Sidang Media hari ini.

Menurut beliau, konvokesyen ini meraikan para graduan yang juga menjadi agenda penting dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

Menurutnya, hanya graduan sahaja yang dibenarkan pada setiap sesi dalam dewan konvokesyen manakala ibu bapa hanya dibenarkan untuk menghantar anak-anak mereka dan akan berada di lokasi lain yang disediakan.

Beliau berkata, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan memasyhurkan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardie dan Prof Emeritus Tan Sri Syed Jalaludin Syed Salim sebagai Pro Canselor UPM selama tempoh tiga tahun mulai 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Tuanku Canselor UPM akan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Ijazah dan Diploma kepada graduan pada hari kelima (12 Januari, sesi kelima) pada majlis itu.

Baginda juga berkenan mengurniakan hadiah kepada Pemenang Hadiah Peringkat Universiti iaitu Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin@Hassan daripada program Bacelor Sains Fizik Dengan Kepujian, Anugerah Diraja (Bumiputera) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil program Bacelor Sains Hortikultur dan Anugerah pelajaran Diraja (bukan bumiputera) kepada Chow Heng Yee program Bacelor Sains Pembangunan Manusia pada 12 Januari 2022.

Pingat lain akan disampaikan oleh Syed Jalaludin pada 8 Januari 2022.

Sementara itu, penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Aini Nazihah Hasin @ Hassan, 25, berkata, beliau menggunakan waktu hujung minggu untuk mengulangkaji pelajaran, membuat nota serta berkongsi ilmu yang diperolehi bersama rakan-rakan.

Anak kedua daripada sembilan adik beradik memberitahu, beliau mampu untuk mencapai lebih tinggi jika berjaya mencapai sesuatu.

Majlis konvokesyen itu juga bakal menyaksikan penganugerahan  sulung bagi program Sarjana Keusahawanan dengan seramai 11 graduan akan menerima ijazah masing-masing pada sesi pertama, Sabtu ini.

Sementara itu, antara atlet negara yang akan bergelat graduan ialah Syed Syafiq Syed Cholan (Hoki), Nur Fatihah Mohammad Tahir (Menembak), Mohamed Farhan Hafsyam Zahid (Olahraga), Priyanshankari Hari Sankar (Karate), Muhamad Hafzan Bakri Md Roni (Ragbi), Dzafran Asyraf Zainuddin (Ragbi) dan Muhammad Kamal Ishak (Sepak Takraw). – MalaysiaGazette