Sebilangan wanita warga asing yang menjadi ayam pemuas seks di rumah merah Jalan Silang ibu negara digempur dan ditahan JIM dalam operasi 5 Januari 2022. Ihsan JIM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tujuh warga asing dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah pelacuran di Jalan Silang, di sini, semalam.

Para pelacur warga asing tersebut melayan lebih 12 pelanggan sehari dengan bayaran sebanyak RM30 dikenakan kepada mereka.

Penjaga premis warga asing yang menjaga rumah merah menjalankan kegiatan pelacuran di Jalan Silang berjaya diberkas semasa bersembunyi dalam tangki air premis itu.Ihsan JIM Putrajaya

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, Unit QRT Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia menyerbu premis ini pada jam 3.30 petang dengan kekuatan seramai 10 orang Pegawai Imigresen.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita dan pelanggan di dalam premis namun tidak berjaya kerana premis ini telah dikepong.

“Penjaga premis mengambil tindakan dengan mengunci pintu dari dalam bagi menyekat serbuan masuk dan tidak memberi kerjasama untuk membuka pintu sebelum pegawai operasi terpaksa memecahkan dinding premis untuk masuk ke dalam premis apabila cubaan untuk membuka dan mengumpil pintu besi yang dikunci dari dalam tidak berjaya.

“Setelah berjaya memasuki premis, pegawai operasi mendapati premis ini telah diubahsuai secara haram dengan binaan bilik-bilik untuk melayan pelanggan dan juga laluan rahsia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, keadaan di dalam rumah pelacuran itu agak suram, berbau serta kotor.

Sebilangan wanita warga asing yang menjadi ayam pemuas seks di rumah merah Jalan Silang ibu negara digempur dan ditahan JIM dalam operasi 5 Januari 2022. Ihsan JIM Putrajaya

“Seramai 11 orang individu telah diperiksa di dalam premis ini manakala tujuh orang wanita disyaki menawarkan khidmat seks sedang menyorok di dalam bilik rahsia, tiga orang pelanggan menyorok di laluan rahsia dan penjaga premis pula terjun dan menyorok di dalam tangki air.

“Hasil pemeriksaan berjaya menahan seramai tujuh orang warga asing yang terdiri daripada tiga wanita warganegara Indonesia, dua wanita warganegara India, seorang lelaki warganegara Nepal yang merupakan penjaga premis dan seorang lelaki warganegara Myanmar yang merupakan pelanggan di premis tersebut,” katanya lagi.

Menurut Khairul Dzaimee, sebanyak empat notis untuk hadir memberi keterangan dikenakan kepada dua orang wanita tempatan yang merupakan pekerja di premis tersebut dan dua orang lelaki tempatan yang merupakan pelanggan di dalam premis semasa serbuan dijalankan.

Me

“Akuan lisan oleh salah seorang pekerja wanita di rumah merah itu mengakui setiap pekerja seks wanita asing itu menerima 10 sehingga 12 orang pelanggan sehari dan lebih ramai pelanggan pada hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Anggota Imigresen terpaksa memecahkan dinding dan bilik khas yang dibina di premis rumah merah menawarkan pelacuran wanita warga asing di Jalan Silang, ibu negara pada 5 Januari 2022.JIM Putrajaya

“Manakala setiap pekerja seks juga dikenakan bayaran yuran sebanyak RM25 sehari untuk bilik, kondom, tisu dan minyak pelincir seks yang mana yuran itu perlu dijelaskan kepada penjaga premis setelah tamat waktu bekerja,” ulas beliau.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti terhadap kesemua suspek adalah tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Ujar beliau, kesemua tahanan warga asing ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette