Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor
Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGE TOWN – Keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah untuk sementara waktu ini adalah wajar terutama bagi melindungi jemaah daripada jangkitan varian Omicron Covid-19.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor percaya, tiada pihak yang ingin menghalang sesiapa pun umtuk pergi ke tanah suci dan melaksanakan ibadah berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam di negara ini perlu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keperluan menangguh ibadah umrah daripada sudut hukum fiqah.

Menurutnya, penjelasan itu perlu agar tiada salah faham berlaku mengenai isu kerajaan yang menghalang orang Muslim daripada menunaikan kewajipan dan tuntutan agama.

Dalam pada itu, katanya, pada masa sekarang ramai rakyat Malaysia mengalami kesukaran hidup pasca bencana banjir baru-baru ini, maka keutamaan wajar diberi kepada usaha membantu memulihkan ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Wan Salim menambah, dilihat dari segi keutamaan atau ‘aulawiyyat’ dalam situasi terkini di Malaysia, maka usaha membantu mangsa bencana banjir amat wajar didahulukan daripada menunai ibadat umrah lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah pernah menunaikan ibadah ini kerana ia hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup.

“Perlu difahami juga bahawa amalan atau kebajikan yang manfaatnya melampaui pelakunya kepada orang lain adalah lebih berpahala dan lebih disukai Allah SWT daripada amalan yang manfaatnya hanya terhad kepada pelakunya sahaja.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar umat Islam khususnya golongan kaya supaya merebut pahala lumayan yang dijanjikan Allah SWT bagi membantu saudaranya yang dalam kesusahan.

“Hulurkan bantuan sama dengan perbelanjaan yang digunakan untuk perjalanan ke tanah suci bagi membantu saudara kita yang terjejas kehidupan mereka akibat bencana alam, InsyaAllah akan diganjari pahala berganda selain kehidupan diberkati,” kata Wan Salim dalam kenyataan di sini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan perjalanan bagi mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini. – MalaysiaGazette