Dadah pelbagai jenis termasuk ekstasi dan ganja yang dirampas dari dua suspek yang menjadikan kondo mewah sebagai proses cecair dadah di seri kembangan dilumpuhkan 2 Januari lalu.Ihsan JSJN KL

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket dadah yang menjadikan sebuah kondominium sebagai setor dan tempat memproses cecair dadah terbongkar dengan tertangkap dua individu di Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor menerusi Ops Catrina pada Ahad lalu.

Dadah yang diproses itu diedar kepada pelanggan di pusat hiburan sekitar ibu negara dan Selangor.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, hasil pemeriksaan di kediaman tersebut, polis menjumpai dan merampas dadah cecair jenis Methyl​enedioxy​methamphetamine (MDMA) atau dikenali ekstasi dalam 309 botol dengan anggaran berat isipadu 114,750 mililiter berharga RM40,170.

“Hasil soal siasat ke atas suspek kondominium mewah yang dihuni mereka dijadikan sebagai stor dan tempat makmal memproses cecair dadah,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu hari ini.

Tambah beliau, dalam pemeriksaan sama polis turut merampas serbuk ekstasi seberat 5.510 kilogram bernilai RM275,500, pil ekstasi sebanyak 120 biji anggaran berat 48.66 gram bernilai RM2,430.

“Kita juga menemui dadah 40 biji Erimin 5 seberat 10.10 gram bernilai RM 757, ganja 38.30 gram bernilai RM1,915 dan ketamin seberat 83.4 gram bernilai RM 12,510,” ujarnya.

Menurut Mohd Shokri, polis mendapati sindiket itu baharu beroperasi selama sebulan dan menggunakan kondominium yang menyediakan kawalan keselamatan yang ketat bertujuan mengaburi kegiatan mereka daripada dihidu oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, dadah yang diproses dipercayai akan dijual kepada pelanggan di pusat hiburan di sekitar ibu negara dan Selangor dan polis masih menyiasat sumber bekalan yang diperolehi suspek.

Kata Beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Mohd. Shokri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 14,345 pengguna (dadah.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah daripada sindiket ini adalah berjumlah RM333,282 dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur meminta kerjasama dari orang awam dalam menyalurkan sebarang maklumat aktiviti atau kegiatan penyalahgunaan dadah melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),” ujarnya. – MalaysiaGazette