Mangsa banjir di Dengkil dibantu Maritime Network Sdn Bhd

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Datuk Seri R Jeyendran tidak melepaskan peluang untuk turun padang menghulurkan bantuan kepada komuniti yang terkesan akibat banjir di seluruh negara.

Bantuan diagihkan dalam pelbagai bentuk termasuklah wang tunai serta barangan keperluan asas seperti toto, almari, barangan elektrik dan makanan.

Tanpa mendedahkan nilai sumbangan yang dihulurkan, kata pengasas syarikat perkapalan Maritime Network Sdn Bhd berkata,  pihaknya telah mula turun membantu sejak hari pertama musibah itu berlaku.

“Ramai sebenarnya yang menghubungi saya secara peribadi. Ada juga kenalan dan yang mengenali pekerja saya menceritakan kesusahan serta penderitaan dialami.

“Saya menggunakan bot-bot saya untuk turut sama-sama bantu pihak berwajib dalam operasi menyelamat serta menyalurkan bantuan makanan.

“Keadaan sangat sukar ketika musibah itu melanda. Tinjauan di tempat lokasi yang dilawati ketika  banjir sudah surut mendapati rumah atau harta benda musnah, bukan sikit kerugian mereka sebaliknya hampir 100 peratus.

“Baru-baru ini saya hadir sendiri ke Dengkil, sayu tengok keadaan mereka. Ini bukan soal siapa mereka, latarbelakang atau agama. Mereka semua sebahagian dari masyarakat kita, itu sahaja motivasi saya dan syarikat,” katanya kepada MalaysiaGazette .

CEO Maritime Network tampil bantu mangsa-mangsa banjir

Jelas Jeyendran lagi,  banjir sememangnya satu bencana cukup besar dan memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia selepas pandemik Covid-19.

Oleh itu, beliau akan terus komited menyalur sumbangan sedaya yang mampu.

“Lagi ramai tampil, lebih baik kerana impak dan kesan banjir ini bukan sesuatu yang anda boleh ulas dengan kata-kata sahaja.

“Bantulah selagi anda boleh, ramai yang memerlukan di luar sana,” jelasnya. -MalaysiaGazette