PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Sindiket penyeludupan yang terlibat dalam insiden bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 15 Disember lepas dan mengorbankan 21 pendatang tanpa izin, telah berjaya dikenal pasti.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, bagaimanapun beliau tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara itu berikutan ia masih dalam siasatan.

“Kita sudah kenal pasti sindiket yang terlibat dalam kejadian bot pancung karam ini namun disebabkan dalam proses tindakan susulan, saya tidak boleh maklumkan kepada tuan-tuan semua (pihak media).

“Saya tidak boleh beritahu dengan lebih terperinci (sama ada melibatkan sindiket Malaysia atau Indonesia), kalau maklumkan nanti (khuatir) perancangan kami untuk tindakan susulan akan gagal.

“Selepas itu kalau kami dapat kejayaan dan tekong-tekong terlibat, saya akan bawa (dedahkan) pada sidang media,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Khaw berkata, setakat ini 19 jenazah daripada 21 warga Indonesia yang terkorban dalam insiden itu telah dihantar pulang ke republik tersebut melalui jalan laut manakala dua lagi masih dalam proses pengecaman.

Semalam, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi memaklumkan lapan jenazah dibawa pulang pada 4 Januari lepas dengan menggunakan Kapal Polis Air Indonesia iaitu KP Laksmana 7012, sekali gus menjadikan 19 jenazah telah dibawa pulang setakat ini.

Sementara itu, Khaw berkata, kerjasama dan perkongsian maklumat khasnya Polis Kontinjen Johor dengan Polis Republik Indonesia (Polri) dengan dibantu agensi lain daripada kedua-dua negara telah membawa kepada kejayaan terutama Op Benteng sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, 137 serbuan telah dijalankan dengan penahanan 73 tekong yang terdiri daripada 30 warga tempatan, 43 Indonesia, dua Pakistan dan seorang Thailand.

“Daripada keseluruhan serbuan, sebanyak 29 kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dengan 19 daripadanya telah dituduh melibatkan 38 tekong Indonesia dan kes masih dalam perbicaraan,” katanya. – Bernama