MELAKA – Pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad ke Putrajaya yang didakwa menerima notis 24 jam mempunyai sebab tertentu termasuk kemungkinan khidmatnya diperlukan di peringkat Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia adalah proses biasa berlaku dalam mana-mana jabatan kerajaan walaupun jika pertukaran itu tidak dimaklumkan lebih awal.

“Suka hati awak nak dakwa apa pun (notis 24 jam), cakap orang kita tak tahu apa sebenarnya. Mungkin di zaman dia (Adly Zahari) tak berlaku, zaman saya mungkin berlaku.

“Ada sebab musababnya dia (Kamel) diperlukan di tempat yang mungkin di satu kementerian yang lebih memerlukan beliau, mana saya tahu,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini hari ini.

Pertukaran Kamel yang baharu lima bulan bertugas di Melaka sejak memegang jawatan itu pada Ogos 2021 ke Putrajaya mengundang kontroversi kerana didakwa menerima notis pertukaran dalam tempoh 24 jam pada Selasa lalu.

Isu itu turut dipertikaikan Adly yang juga Ketua Pembangkang Melaka yang meminta kerajaan negeri memberi penjelasan dan pertukaran itu mestilah dilakukan dengan proses dan etika yang betul.

Ditanya adakah beliau tahu mengenai pertukaran tersebut lebih awal dan bukannya dalam tempoh notis 24 jam sebagaimana didakwa Adly atau berlakunya kemelut dalaman, Sulaiman berkata, beliau tak tahu apa yang diketahui orang lain.

“Kalau dia diperlukan di tempat lebih baik maka dia pergilah. Ada kemelut ke selama ini? Saya tak tahu itu perkara biasa pertukaran macam saya cakap federal (kerajaan Persekutuan) perlukan dia,” katanya.

Semalam, bekas Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari dilantik sebagai SUK yang baharu menggantikan Kamel berkuat kuasa serta-merta.

Beliau mengangkat sumpah jawatan dan simpan rahsia di hadapan Sulaiman dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Bilik Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), Seri Negeri, Ayer Keroh.