Hassan Marican

KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican akan diisytihar sebagai Canselor keempat Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada 10 Januari ini, yang juga hari pertama majlis konvokesyen ke-21 universiti itu.

Majlis konvokesyen UTP akan berlangsung dari 10 hingga 14 Januari melibatkan 10 sesi.

UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Mohd Hassan sebagai Canselor UTP bagai sirih pulang ke gagang kerana idea penubuhan universiti itu telah dicetuskan, dikonsepkan dan direalisasikan semasa beliau memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Petronas.

“Genap 25 tahun lepas pada tarikh 10 Januari 2022, beliau telah menerima surat pelawaan daripada Kerajaan untuk menubuhkan UTP.

“Beliau adalah Pengerusi Lembaga Pengarah universiti yang pertama dan sememangnya banyak terlibat dalam penubuhan serta pembangunan kampus UTP. Beliau juga adalah Pro Canselor UTP dari 2003 hingga 2010,” menurut kenyataan itu.

Mohd Hassan juga akan melancarkan sambutan Ulang Tahun ke-25 UTP yang jatuh pada 10 Januari iaitu hari pertama konvokesyen.

“UTP akan menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti sepanjang tahun untuk kakitangan, penuntut dan komuniti universiti bagi memperingati jubli perak universiti,” menurut kenyataan itu.

Sejumlah 1,604 penuntut akan bergelar graduan dengan 1,366 menerima ijazah sarjana muda, 161 dianugerah ijazah sarjana dan 77 memperoleh ijazah doktor falsafah.

Majlis itu akan diadakan secara fizikal dengan pematuhan ketat semua prosedur operasi standard yang mengutamakan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan serta penjarakan fizikal.

Pengerusi Petronas, Tan Sri Datuk Seri Mohd Bakke Salleh serta dua Pro Canselor UTP iaitu Datuk Tengku Muhammad Taufik dan Tan Sri Zaharah Ibrahim akan menyerikan majlis konvokesyen itu selain Lembaga Pengarah UTP serta Naib Canselor semasa dan yang terdahulu. – Bernama