Pemandu lori pasir di bawah pengaruh dadah rempuh tiga kenderaan lain selepas brek gagal berfungsi di simpang lampu isyarat dalam kejadian di Ampang hari ini.Ihsan IPD Ampang Jaya

AMPANG – Seorang pemandu lori tanah yang disyaki memandu di bawah pengaruh dadah merempuh tiga kenderaan lain di Sri Bayu, Taman Putra, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, lelaki berusia 39 tahun yang memandu lori muatan pasir seberat 22 tan itu dari arah Hulu Langat menuju ke arah Ampang.

“Ketika suspek mahu berhenti di persimpangan lampu isyarat itu, tiba-tiba brek lori pasir itu gagal berfungsi sebelum merempuh dua kereta dan sebuah motosikal yang diparkir di rumah kedai Sri Bayu.

“Kemalangan itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan serius dan kehilangan nyawa kepada orang awam dan pemandu lori tersebut dan hanya kenderaan awam alami kerosakan teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemandu lori pasir di bawah pengaruh dadah rempuh tiga kenderaan lain selepas brek gagal berfungsi di simpang lampu isyarat dalam kejadian di Ampang hari ini.Ihsan IPD Ampang Jaya

Tambah beliau, berikutan kemalangan itu, pemandu lori berkenaan telah ditahan dan dibawa ke Balai Trafik Ampang Jaya untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut Mohamad Farouk, suspek telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan mendapati pemandu lori berkenaan positif dadah methamphetamine.

“Justeru, semakan juga mendapati suspek memiliki dua rekod lampau bersabit kes jenayah.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang pagi Sabtu untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut kes kemalangan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette