Pengunjung dari dalam dan luar negeri menaiki Melaka River Cruise dengan menikmati keindahan malam di sekitar Bandar Hilir dalam tempoh pelaksanaan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Melaka. Foto AFFAN FAUZI, 23 OKTOBER 2021.

MELAKA – Bot pelancongan Sungai Melaka, Melaka River Cruise (MRC) kehilangan hasil pendapatan lebih RM500,000 susulan penutupan operasi selama sembilan hari akibat musim Monsun Timur Laut yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, anggaran itu berdasarkan kiraan pendapatan antara RM30,000 hingga RM110,000 sehari.

Menurutnya, musim tengkujuh bermula awal Disember lalu sehingga awal Januari ini mengakibatkan perkhidmatan bot pelancongan itu terpaksa ditutup kerana paras dan kelajuan air Sungai Melaka yang berada pada tahap berbahaya untuk aktiviti rekreasi.

“Operasi MRC bergantung kepada dua faktor terbabit yang mana jika arus terlalu deras, bot tidak mampu menampung keadaan itu kerana rekaannya sesuai untuk rekreasi dan bukanlah bot untuk penyelamatan dan sebagainya.

“Kedua, adalah paras air tidak boleh melebihi ketinggian 1.1 meter atau kurang daripada 0.9 meter kerana jika terlalu tinggi, ia tidak boleh melepasi beberapa jambatan sepanjang sungai.

“Jadi sepanjang sembilan hari penutupan iaitu empat hari pada Disember dan lima hari pada Januari lalu, dianggarkan kita kehilangan pendapatan lebih RM500,000,” katanya, di sini, hari ini.

Menurutnya, anggaran itu berdasarkan pendapatan harian antara RM30,000 pada hari biasa dan RM110,000 pada hujung minggu atau cuti umum.

“Angka ini bagaimanapun mungkin berubah-ubah bergantung kepada cuaca atau musim tertentu seperti cuti sekolah, perayaan atau cuti umum.

“MRC sebenarnya adalah pelengkap kepada industri pelancongan di Melaka sebab itu aspek keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan berbanding keuntungan membuatkan kami amat berhati-hati untuk beroperasi pada musim tengkujuh,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here