Seorang petugas mengambil sampel di Snyder Park. foto Getty Images

TEXAS – Seorang guru Amerika Syarikat (AS) telah ditahan selepas didakwa mengunci anaknya yang positif Covid-19 dalam but kereta untuk melindungi dirinya daripada terdedah kepada virus itu ketika dia memandu ke pusat ujian saringan, lapor media tempatan.

Sarah Beam, 41, dilaporkan didakwa membahayakan kanak-kanak itu.

Seorang saksi menghubungi polis selepas mendengar seseorang di dalam kenderaan itu pada 3 Januari lalu di pusat saringan di Harris County, Texas, menurut click2Houston.com.

Guru itu dilaporkan membuka but untuk menunjukkan seorang budak lelaki itu sedang terbaring di dalamnya.

Beam berkata,  anak lelakinya yang berusia 13 tahun itu telah disahkan positif Covid-19 dan dia membawanya ke lokasi Stadium Pridgeon untuk melakukan ujian bagi mengesahkan keputusan,  menurut media tempatan.

Wanita itu berkata, dia meletakkan remaja itu di dalam but kereta kerana tidak mahu dirinya dijangkiti.

Bagaimanapun, seorang pekerja kesihatan memberitahu, dia tidak akan melakukan ujian koronavirus sehingga budak lelaki itu dibenarkan duduk di tempat duduk belakang kereta, lapor KTRK-TV.

Beam bekerja sebagai guru di Sekolah Tinggi Cypress Falls sejak 2011, tetapi kini sedang dalam cuti pentadbiran, menurut media tempatan.

Jabatan Polis ISD Cy-Fair berkata, mujurlah kanak-kanak itu mengalami sebarang kecederaan.

Menurut polis, pihaknya tidak pernah mendengar lagi aduan seseeorang meletakkan individu lain di dalam but kereta semata-mata bimbang dijangkiti Covid-19. – BBC