Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres, Lele Suzana Kudari bercakap kepada media tentang isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dalam satu perjumpaan bersama semua pemilik rumah teres bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru kesal dengan helah pihak pemaju yang cuba ‘membodohkan’ penduduk kediaman teres di kawasan setempat dalam isu pembangunan semula tanah Kampung Baru.

Pengerusinya, Lele Suzana Kudari berkata, tawaran yang diputuskan oleh pihak pemaju sebelum ini adalah berbeza dengan yang termaktub di dalam kontrak perjanjian.

“Jenis rumah termaktub dalam perjanjian tidak sama dengan jenis rumah yang dijanjikan.

“Pemaju menjanjikan kondominium, tapi yang dinyatakan dalam perjanjian (kontrak) hanyalah pangsapuri dan pangsapuri ini kalau dilihat dalam pelan lantai, tidak ada balkoni,” katanya pada sidang media di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Bharu, di sini, hari ini.

Menurut Lele, pihak pemaju juga cuba mengaut keuntungan berganda apabila menawarkan kadar pampasan yang rendah daripada harga pasaran.

Lele Suzana Kudari bercakap kepada media tentang isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru dalam satu perjumpaan bersama semua pemilik rumah teres bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JANUARI 2022.

“Jurunilai swasta yang dilantik telah menilai tanah Kampung Sungai Bharu dan hasilnya adalah tidak kurang daripada RM1,500 kaki persegi, tidak termasuk nilaian bangunan di atas tapak tanah,” ujarnya.

Tambahnya, penduduk kediaman teres khuatir pembangunan semula ini akan gagal memandangkan pihak pemaju iaitu Ritzy Gloss Sdn Bhd bukan merupakan syarikat pembangunan hartanah yang mempunyai pengalaman.

“Ritzy Gloss pada asalnya adalah sebuah syarikat kredit yang bermodalkan hanya RM1,000 sahaja.

”Pihak pemaju ini juga bukanlah syarikat pembangunan hartanah, kami khuatir pembangunan ini tidak akan berjaya,” katanya lagi.

Justeru, Lele mengharapkan campur tangan daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan wakil rakyat kawasan agar prihatin kepada nasib penduduk Kampung Sungai Baru yang terus ditindas tanpa sebarang pembelaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nasib lah ada yang berani berkata benAr. Dapat juga rakyat buat penilaian. Berbanding dalam rancangan felda tak ada siapa pun ingin ambil tahu hal peneroka dimainkan oleh felda. Hutang pakai longgok je peneroka mana tahu. Cukup tahun jumlah puluh ribu tutup kira2 ratus ribu peneroka terima saja lah berapa pun. Kalau ada bantuan kerajaan pun yang dapat felda. Peneroka dengar je lah berita.

Comments are closed.