Sebahagian mesin lombong Bitcoin yang dirampas dalam 10 serbuan di Taiping, Perak semalam.

TAIPING – Taktik sindiket perlombongan mata wang kripto Bitcoin yang menjadikan premis kosong untuk kegiatan haram mereka berjaya dibongkarkan selepas polis menyerbu 10 premis di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, bertindak atas risikan dan maklumat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping serta Juruteknik Khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu 10 premis tersebut bermula pukul 3.30 petang hingga 8.30 malam.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas 480 unit mesin bitcoin serta pelbagai peralatan untuk kegiatan tersebut yang dianggarkan bernilai RM720,000.

Pihak polis menyerbu premis peniagaan kosong yang dijadikan tempat melombong Bitcoin.

“Antara peralatan tersebut termasuk monitor, unit pemprosesan komputer (CPU), papan kekunci dan modem.

“Tiada tangkapan dibuat dalam serbuan berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990. – MalaysiaGazette