Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir pada Perhimpunan Bulanan KPWKM di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 10 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjangkakan jumlah penerima bantuan akan bertambah selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan dengan menggunakan Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengunjurkan penerima bantuan JKM tahun ini boleh mencecah 550,000 orang berbanding 517,414 orang penerima sekarang.

Jumlah 517,414 penerima bantuan JKM itu daripada pelbagai kategori.

Menurut beliau, kementerian itu sudah menerima sebanyak RM1.772 bilion atau lebih 70 peratus daripada peruntukan belanja mengurus yang diterima tahun ini untuk disalurkan kepada bantuan kebajikan di bawah agensi berkenaan.

“Kementerian menjangka menerima banyak permohonan dari mereka yang terkesan akibat banjir dan untuk itu saya sudah minta supaya pemprosesan perlu dipercepatkan bagi memudahkan mereka (penerima),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM di sini hari ini.

Rina berkata, kementerian itu akan lebih fokus kepada JKM terutama kepada penerima bantuan bulanan dan kita anggarkan apabila kita menggunakan PGK 2019 akan lebih ramai lagi pemohonan yang kita terima.

Dalam pada itu, Rina turut berkata, KPWKM akan menggerakkan semua agensi di bawahnya secara serentak dan tidak lagi mengutamakan agensi-agensi tertentu sahaja.

“Apabila berlaku banjir kita akan gerakkan semua agensi di bawah kita. Kita tidak mahu melihat jika berlaku satu bencana itu hanya agensi-agensi tertentu yang kita berikan keutamaan tapi kita akan bergerak sebagai satu keluarga,” katanya lagi.

Berdasarkan pengumuman Bajet 2022, KPWKM menerima peruntukan sebanyak RM2.682 bilion dengan peningkatan sebanyak 4.56 peratus berbanding tahun 2021.

Daripada jumlah tersebut, KPWKM menerima peruntukan perbelanjaan mengurus sejumlah RM2.506 bilion manakala peruntukan pembangunan sebanyak RM175 juta. – MalaysiaGazette