Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia akan dipertingkatkan daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 bagi menyelamatkan spesis Harimau Malaya yang semakin pupus.

Langkah itu antara enam Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya yang diputuskan dalam mesyuarat pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) yang diadakan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, tindakan strategik itu akan dilaksanakan pada 2021 hingga 2030 bagi menyelamatkan spesis Harimau Malaya.

“Penubuhan MyTTF merupakan kesepakatan dan komitmen tinggi
Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya. Ia menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan dan strategi negara untuk konservasi Harimau Malaya dan habitatnya.

“Kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni di hutan negara yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor,” katanya dalam satu kenyataan.

Harimau Malaya yang terdapat di Zoo Negara menjadi tarikan utama orang ramai.- Foto MOHD ADZLAN, 02 OKTOBER 2021.

Tambah beliau, spesis Harimau Malaya mengalami ancaman kepupusan disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram selain penularan virus canine distemper.

Selain pemuliharaan hutan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli akan meningkatkan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan.

Tindakan turut merangkumi pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.

MyTTF juga akan memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Perlihitan, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya.

Selain itu kerajaan akan memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Fiskal Pemindahan Ekologi Untuk Pemuliharaan Biodiversiti serta memperhebatkan kempen selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik.

Menurut Ismail Sabri, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] juga telah dipinda dan diluluskan oleh Parlimen pada 21 Disember tahun lalu untuk meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Melalui pindaan tersebut denda maksimum telah ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar.

“Selain itu, terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian.

“Jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara akan hilang buat selama-lamanya,” kata Ismail Sabri.

Mesyurat pertama itu turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Pahang, Selangor serta Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perak.

Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan. – MalaysiaGazette