Dr Adham Baba menyampaikan ucapan pada majlis MoU antara Pertubuhan Keselamatan Nasional (Perkeso) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di sini.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Keselamatan Nasional (Perkeso) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengetengahkan produk inovasi yang meningkatkan pendapatan golongan sasar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi tujuan itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan jalinan kerjasama.

Enam aspek yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak menerusi kerjasama itu antaranya  berkongsi platform dalam mengenal pasti keperluan kumpulan sasar.

Menurut beliau lagi, kedua-dua pihak juga akan memperkenalkan program atau projek inovasi yang dijalankan oleh YIM termasuk memberi peluang kepada pembangunan produk dan kemudahan pembiayaan.

“Menganjurkan program pembangunan kapasiti dan atau latihan, bekerjasama dengan mana-mana pihak lain yang berkaitan untuk geran dan atau dana yang berpotensi termasuklah bekerjasama dalam mana-mana bidang lain yang berkaitan dengannya dan dipersetujui oleh pihak-pihak,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Adham yakin kerjasama yang terjalin antara Perkeso dan YIM ini bakal mewujudkan peluang pembangunan produk berpotensi, peluang kemudahan pembiayaan, geran dan dana serta program pembangunan kapasiti dan latihan.

“Ini merupakan usaha yang terpuji ke arah membantu meningkatkan sosio-ekonomi Keluarga Malaysia terutamanya pasca pandemik Covid-19,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau juga optimis inisiatif itu akan meningkatkan lagi penglibatan usahawan baharu sekaligus memacu pembangunan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi. – MalaysiaGazette