Wan Saiful Wan Jan

 

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak terkesan dengan pengumuman senarai ahli jawatankuasa Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Perlembagaan PPBM jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahlinya menyertai parti lain, maka keahlian mereka secara automatik tergugur.

“Peraturan ini konsisten dan terpakai kepada semua,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jawapan itu diberikan selepas beliau mendakwa ramai wartawan menghubunginya mengenai pengumuman senarai AJK Parti Bangsa Malaysia.

Teka-teki individu yang akan menyandang jawatan Presiden PBM akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Sng diumumkan memegang jawatan tersebut selepas Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti tersebut baru-baru ini.

Sebelum ini, nama Datuk Zuraida Kamarudin disebut-sebut akan mengepalai PBM.

Selain Larry, seramai 30 ahli jawatankuasa kepimpinan baharu PBM turut dilantik dan dipilih dalam mesyuarat EGM berkenaan termasuk pelantikan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Wong Judat sebagai Timbalan Presiden.

Selain itu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam turut dipilih sebagai Naib Presiden PBM.

Wan Saiful berkata, PPBM juga semakin berkembang dengan bilangan keahliannya meningkat setiap bulan.

“PPBM akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, anti-rasuah dan anti-salah guna kuasa, demi memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama,” ujarnya. – MalaysiaGazette