Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases recoveries
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kes baharu jangkitan positif Covid-19 hari ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang dicatatkan hari ini ialah 3,198 iaitu meningkat 23 kes berbanding semalam sebanyak 3,175.

Menurut beliau, bilangan kes baharu itu menjadikan kumulatif yang dijangkiti positif Covid-19 sejak hampir dua tahun lalu bertambah kepada 2,795,233 juta kes.

“Daripada jumlah itu, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 303 kes import iaitu 224 warganegara dan 79 bukan warganegara.

“Bagi kes sembuh pula hari ini dilaporkan sebanyak 3,200 kes menjadikan kes kumulatif 2,723,599 kes atau 97.4 peratus,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah sebanyak 215 kes iaitu 185 kes disahkan Covid-19, 30 kes lagi dalam kategori disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Begitu juga, katanya, kes yang memerlukan bantuan pernafasan ialah sebanyak 105 kes iaitu 65 kes disahkan Covid-19, manakala 40 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Jumlah kluster pula sebanyak 6,184 kluster diikuti kluster baharu (lapan), kluster yang telah tamat (6,005) dan kluster aktif (179 kluster).

Kata Dr. Noor Hisham, daripada 3,198 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 39 kes atau 1.2 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 serta 3,159 kes atau 98.8 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Mengenai situasi semasa banjir, beliau berkata, sehingga pukul 3 petang tadi,  KKM mencatatkan jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi sebanyak 27 PPS iaitu Johor 24 dan Melaka tiga PPS.

Jumlah negeri yang dilanda banjir sehingga petang ini adalah Melaka dan Johor dengan jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir seramai 1,086 orang.

“Jumlah kes positif Covid-19 di PPS kekal kepada 15 kes tanpa ada kes baharu dilaporkan. Ini termasuk jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir juga tiada kes baharu, hanya kekal kepada 470 kes,” katanya. – MalaysiaGazette