Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman

KUANTAN – Malaysian Relief Agency (MRA) terus melaksanakan operasi menghantar bantuan kepada mereka yang terkesan dengan musibah banjir di seluruh negara sehingga dua bulan lagi.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, meskipun banjir telah surut namun di Melaka, Johor dan Pahang masih lagi berada dalam keadaan berjaga-jaga seperti dilaporkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara.

Katanya, sehingga 12 Januari lalu, MRA telah beroperasi di 133 lokasi melibatkan sembilan buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan Sabah.

Manakala sebanyak RM 1.2 juta dibelanjakan bagi sumbangan makanan, barangan bantuan banjir, peralatan mencuci, perubatan, pakaian, perkhdimatan klinik bergerak dan perkhidmatan mencuci rumah.

Katanya, seramai 2, 800 orang sukarelawan MRA di seluruh negara untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada 35,000 orang mangsa yang terkena musibah banjir di seluruh negara.

“Program Cuci-Cuci Celcom – MRA yang digerakkan di seluruh negara telah membersihkan lebih 170  buah rumah dan 15 bangunan komuniti yang telah ditenggelami air.

“Sebanyak 15 unit generator, 15 unit pam air dan 30 unit jet air beserta ratusan kit kelengkapan mencuci telah ditaja oleh Syarikat Celcom Axiata Sdn Bhd kepada MRA untuk memudahkan pelaksanaan program cuci cuci ini diadakan di seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hampir 20,000 pek makanan telah diedarkan kepada mereka yang terkesan dan menyediakan 2000 pek makanan bermasak setiap hari untuk diedarkan ke PPS terlibat.

Jelas Dr. Daud, MRA telah menggerakkan sebanyak 35 sesi klinik dan telah merawat seramai 1,700 orang pesakit.

“Melihat kepada kepentingan kesihatan sewaktu banjir, terdapat banyak isu-isu yang melibatkan penyakit berjangkit, wabak dan penyakit bawaan air yang perlu dirawat.

“Terdapat juga pesakit yang mempunyai masalah kronik telah kehilangan ubat-ubatan swaktu berpindah ke PPS,” katanya.

Justeru, segala bantuan yang dihulurkan perlu diteruskan secara berterusan. melalui akaun CIMB Malaysian Releif Agency Foundation 86-000-59478 atau hubungi 03-91744672 untuk maklumat lanjut dan pertanyaan. – MalaysiaGazette