KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah memasang sekurang-kurangnya tiga perangkap di dua perkampungan Orang Asli, dekat Gua Musang, semalam.
Dua daripada perangkap itu dipasang di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai, dalam usaha Perhilitan menangkap harimau belang yang dilihat berkeliaran berhampiran pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, semalam.
Menurut Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani, seramai 15 anggota Perhilitan terlibat dalam usaha mengesan dan menjejak harimau itu, yang dipercayai masih berada dalam radius 10 kilometer dari perkampungan Orang Asli Pos Bihai.
“Anggota Perhilitan ini juga ditugaskan untuk memantau dan mengawal perkampungan Orang Asli Pos Bihai, termasuk mengarahkan penduduk tidak keluar untuk sementara waktu ini.
“Kita percaya tiga harimau belang masih berkeliaran dalam radius 10 kilometer dari kawasan perkampungan ini dan usaha menjejak untuk mengenal pasti di mana harimau itu berada sekarang masih giat dilakukan,” katanya kepada media, di Kota Bharu.
Semalam, media melaporkan, seekor harimau belang dilihat berkeliaran di luar pagar SK Balar, dekat Gua Musang, Kelantan.
Kehadiran harimau itu, yang sempat dirakam seorang guru menakutkan warga sekolah berkenaan dan penduduk masyarakat Orang Asli.
“Tiger Malaya mari ziarah SK Balar. Doakan kami semoga sentiasa dalam perlindungan Allah,” tulis guru berkenaan menerusi Facebooknya.
Sebelum ini, murid dan guru SK Bihai, juga di Gua Musang diancam harimau sehingga sesi pembelajaran bersemuka terpaksa ditangguhkan.
Ditanya mengenai tempoh masa diambil untuk memerangkap harimau belang itu, Mohamad Hafid berkata, pihaknya menjangkakan hampir satu bulan bagi menangkap haiwan itu.
Katanya, jika berjaya ditangkap, harimau berkenaan akan dipindahkan ke kawasan selamat dan jauh dari penempatan penduduk.
“Tempoh masa satu bulan itu mengambil kira kesukaran menjejak haiwan berkenaan berikutan kawasan berbukit serta laluan kenderaan yang tidak sempurna,” katanya. – MalaysiaGazette