Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan anggotanya memeras ugut warga asing dipercayai berlaku di Kampung Baru Subang dekat sini seperti yang tular kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, Unit Perhubungan Awam Bukit Aman telah terkesan satu posting tular yang dimuat naik oleh seorang pemilik Twitter menggunakan nama @afiqadham_ sekitar pukul 2.58 petang mengenainya.

“Di dalam hantaran tersebut, pemilik akaun mendakwa terdapat anggota polis memeras ugut warganegara asing dengan menyatakan kejadian berlaku berdekatan Pasaraya Econsave, Kampung Baru Subang namun masa dan tarikh tidak dijelaskan dengan tepat.

“Semakan dibuat mendapati pemilik akaun telah memadamkan isu tersebut dari laman Twitter miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shafa’aton, hasil semakan mendapati sehingga kini tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan tersebut dan memohon agar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast