Gandingan PUMA, Active Sports memperkenalkan Bola rasmi Liga Malaysia 2022 iaitu PUMA Accelerate 21.1 Pro berteknologi tinggi kali ini.Foto Ihsan MFL

PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama jenama sukan global PUMA serta rakan pengedarnya, Active Sports melancarkan bola rasmi bagi perlawanan Liga Malaysia musim 2022.

Ia melibatkan saingan Liga Super, Liga Premier, TM Piala Malaysia, Piala FA dan Challenge Cup.

Selepas PUMA membuat penampilan kali pertama dalam kancah liga bola sepak profesional negara menerusi bola edisi khas sempena saingan 100 Tahun TM Piala Malaysia musim lalu kini PUMA sekai lagi tampil kali kedua dan bersedia menambah kerancakan dan debaran Liga Malaysia 2021 menerusi bola rasmi MFL Accelerate 21.1 Pro.

Kehadiran PUMA diyakini memberikan pengiktirafan buat Liga Malaysia yang kini menjadi kejohanan bola sepak pertama di Asia menggunakan bola teknologi terkini PUMA selepas saingan La Liga Sepanyol dan juga kesemua pertandingan EFL termasuk Sky Bet Championship, League One, League Two, Carabao Cup and Papa John’s Trophy.

Sukan bola sepak sentiasa berkembang dengan pemain-pemain Liga Malaysia terus bersaing untuk meningkatkan tahap kemahiran lebih tinggi dan PUMA menerusi bola MFL Accelerate 21.1 Pro bakal membantu setiap pemain memperagakan prestasi terbaik.

Bola edisi khas ini dihasilkan menerusi teknologi moden yang mana ia direka menerusi frekuensi tinggi untuk pengekalan bentuk yang sangat baik, ketahanan dan mengurangkan penyerapan air.

Konfigurasi lapan panel yang unik pula mengurangkan bilangan jahitan yang menghasilkan panel yang lebih besar untuk sambungan yang lebih baik dengan bola.

Manakala permukaan PU bertekstur 3D 1.2mm disepadukan untuk aerodinamik bagi meningkatkan ketahanan lebih baik manakala POE foam yang baru dibangunkan dapat menambah baik sentuhan dengan meningkatkan sensitiviti, memberikan sentuhan lebih teguh serta konsistensi lantunan yang lebih baik.

Gandingan PUMA, ACTIVE Sports memperkenalkan Bola rasmi Liga Malaysia 2022 iaitu PUMA Accelerate 21.1 Pro berteknologi tinggi kali ini.Foto Ihsan MFL

Selain direka dengan tekonologi terkini untuk melengkapkan pelbagai gaya permainan bola sepak moden, bola MFL Accelerate 21.1 Pro yang diiktiraf oleh badan induk bola sepak dunia FIFA kerana memiliki corak cukup menarik dengan warna putih sebagai warna utama disulam dengan rekaan grafik berwarna biru, merah dan kuning sebagai simbol warna Jalur Gemilang.

Logo besar Puma juga boleh dilihat dipermukaan bola bersama dengan logo MFL dan Bola MFL Accelerate 21.1 Pro ini boleh didapati secara ekslusif di ACTIVE SPORTS, kedai PUMA terpilih dan PUMA.com dengan harga bermula RM49 hingga RM559.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam kenyataannya berkata, kehadiran PUMA dan Active Sports dalam ‘keluarga’ Liga Malaysia memberi indikasi jelas jenama sukan global itu menaruh kepercayaan cukup tinggi dengan kemampuan pemain bola sepak tempatan.

“Warna dan corak rekaan pada bola MFL Accelerate 21.1 Pro sememangnya akan dapat melonjakkan lagi jenama pertandingan-pertandingan MFL dan kami berterima kasih kepada PUMA kerana menjadi jenama pertama mengeluarkan bola edisi khas untuk liga kita.

“Sudah pasti kelebihan teknologi terkini yang diterapkan pada setiap perincian bola MFL Accelerate 21.1 Pro bakal membantu pemain-pemain meningkatkan lagi prestasi permainan mereka di atas padang sekali gus menambah kualiti saingan Liga Malaysia musim ini.

“Kita juga berharap agar kerjasama antara MFL, PUMA dan ACTIVE SPORTS ini bukan hanya dapat dirasai di dalam padang malah dapat dinikmati jutaan peminat bola sepak tempatan menerusi aktiviti dan rancangan promosi yang akan dijalankan bersama nanti,” katanya.

Dalam pada itu PUMA juga selaku penaja rasmi bola liga domestik percaya ia adalah salah satu cara buat pihaknya mendekati golongan belia dan atlet di Malaysia, kata pengurus besarnya, Steven Tan.

“Matlamat kami adalah untuk mendorong bola sepak tempatan ke hadapan dan untuk menyerlahkan potensi yang belum diterokai dalam diri atlet Malaysia. Bola baharu itu juga mengingatkan identiti negara kita seperti yang ditunjukkan oleh reka bentuk bola yang mencerminkan bendera Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pemilik Active Sports, S. Murugeson berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan MFL. Active Sports telah menaja beberapa pasukan terkemuka di Liga Malaysia.

Beliau menyifatkan bekerjasama dengan MFL dan PUMA dalam menghasilkan bola rasmi perlawanan Liga Malaysia 2022 adalah pencapaian penting dalam sejarah bola sepak negara.

“Kerjasama ini memberi kami peluang untuk mempamerkan produk bertaraf antarabangsa menggunakan teknologi terkini dalam dunia bola sepak yang memberi manfaat kepada pemain dan pertandingan serta dapat dinikmati oleh jutaan penyokong Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast