PBB

WASHINGTON – Sebanyak lapan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Iran dan Venezuela, hilang hak mengundi kerana tidak melakukan pembayaran tertunggak, menurut dokumen yang didedahkan semalam.

Pada 11 Oktober lalu, Setiausaha Agung badan dunia itu, Antonio Guterres mengenalpasti 11 negara mempunyai tunggakan bayaran di bawah terma piagam PBB, termasuk Antigua dan Barbados, Comoros, Republik Kongo, Guinea, Iran, Papua New Guinea, Sao Tome and Principe, Sudan, Vanuatu serta Venezuela.

Piagam PBB menyatakan negara anggota yang berhutang wang yang mana ia bersamaan atau melebihi dua tahun sebelumnya akan kehilangan hak mengundi, lapor agensi berita, Anadolu.

Ia tidak membenarkan Perhimpunan Agung untuk ‘membenarkan negara anggota mengundi jika berpuas hati bahawa kegagalan membayar kerana keadaan di bawah kawalan anggota’.

Pengecualian seperti itu diberikan kepada negara-negara Afrika iaitu Comoros, Sao Tome dan Principe dan Somalia pada akhir perhimpunan semasa, sesi ke-76.

Bagaimanapun, Iran berhadapan pembayaran minimum lebih AS$18 juta untuk mengekalkan hak mengundi manakala Venezuela berhadapan pembayaran hampir AS$40 juta.

Manakala Sudan perlu melakukan pembayaran minimum hampir AS$300,000.

Penggantungan hak mengundi itu berkuatkuasa serta merta.

Ia merupakan dua tahun berturut-turut Iran hilang hak mengundi kerana tidak melakukan pembayaran tertunggak.

Hak tersebut dikembalikan pada Julai lalu apabila negara itu melakukan pembayaran dan mengkritik sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat yang telah memberi kesan kepada ekonominya. – Agensi