Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kenaikan tarif elektrik sebagaimana cadangan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memberi kesan domino kepada rakyat yang akan berhadapan dengan kenaikan harga barang.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, alasan menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kenaikan tarif itu tidak akan membebankan rakyat sangat klise.

Katanya, tindakan tersebut akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat yang menyifatkan mereka ditimpa beban tidak berkesudahan di bawah kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

“Jelas, janji Pas kononnya isu kos sara hidup boleh selesai bila parti itu menjadi kerajaan jauh meleset. Ini kerana kenaikan tarif elektrik mempunyai kesan domino dalam kenaikan harga barang yang pasti akan menjejaskan ekonomi rakyat.

“Justeru, kami menggesa membatalkan hasrat menaikkan tarif elektrik kerana kesan pandemik Covid-19 ke atas ekonomi rakyat belum pulih dan sebarang kenaikan pasti menambah keperitan hidup yang sedang ditanggung.

“Yang perlu diperbanyakkan adalah poket rakyat, bukan kantung Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, TNB pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.78 bilion iaitu 17 peratus lebih tinggi daripada tempoh sama tahun sebelumnya.

Jumlah itu, katanya, mencukupi bagi TNB menampung apa-apa kenaikan kos demi membantu meringankan beban rakyat.

Menurut Faiz, tumpuan kerajaan haruslah ke arah mencari mekanisme tuntas mengatasi masalah kos sara hidup.

“Tumpuan khas perlu diberi terhadap golongan B10 atau berpendapatan bawah RM2,500. Bilangan isi rumah kumpulan ini telah meningkat 12.5 peratus pada 2020 akibat kemelesetan ekonomi.

“Malah, 20 peratus isi rumah yang sebelumnya dikategorikan M40 telah jatuh ke tahap B40. Kumpulan ini juga memerlukan perhatian dan bantuan,” ujarnya.

Beliau berkata, tahun 2021 berakhir dengan pelbagai kegagalan tadbir urus kerajaan dengan pertumbuhan ekonomi lebih teruk daripada jangkaan awal, pengangguran kekal di atas paras 700,000 individu, harga barangan asas meningkat mendadak.

Kata beliau, kegagalan pengurusan ekonomi negara memerlukan satu tindakan pemulihan yang drastik dan kerajaan perlu mempunyai kesungguhan politik untuk melakukan tindakan itu.

Beliau turut menggesa kerajaan menitikberatkan beberapa perkara yang dicadangkannya dalam memulihkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Cadangan itu antaranya, meningkatkan gaji minima termasuk pengenalan gaji minima graduan.

Mengurangkan kos barangan di pasaran, khususnya barang keperluan asas. Dicadangkan cukai SST atas barang keperluan asas digantung sementara untuk enam bulan bagi menurunkan harga.

Memberikan bantuan kewangan kepada syarikat mikro dan PKS untuk meringankan beban kos tetap mereka untuk enam bulan pertama 2022. Ini akan membantu perniagaan tempatan membaiki aliran tunai dan secara tidak langsung, mengurangkan kesan inflasi.

Membentangkan pelan khas jangka panjang bagi menyelesaikan krisis pasca-persaraan negara. Semakin ramai rakyat Malaysia berdepan dengan kekurangan simpanan persaraan.

Meningkatkan peluang pekerjaan di pasaran. Ini adalah masa yang sesuai untuk menggantikan sebilangan besar pekerja asing dengan warganegara Malaysia. Pada masa yang sama, pengampunan boleh diberikan kepada pekerja asing tanpa permit dan mereka ini boleh ditempatkan semula di industri-industri yang mengalami kekurangan pekerja tanpa perlu mengimport pekerja baru. – MalaysiaGazette