Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Tan Sri Azam Baki mendakwa tindakan Lalitha Kunaratnam bukan sahaja berbaur fitnah sebaliknya juga menghina Yang di-Pertuan Agong yang melantiknya mengikut undang-undang.

Lalitha merupakan bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) yang  telah menulis dan menyiarkan dua artikel memfitnah Azam baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam penyataan tuntutan RM10 juta kepada Lalitha berkata, kenyataan dalam dua artikel itu seolah-olah bermaksud beliau menerima kenaikan pangkat tanpa melalui sebarang proses wajar.

Walhal, beliau sudah berkhidmat dengan SPRM sejak tahun 1984 dan hanya dilantik ke pangkat tertinggi setelah hampir 30 tahun berkhidmat dengan suruhanjaya itu.

Jelas Azam, Lalitha telah memfitnah badan SPRM secara keseluruhannya seolah-olah SPRM tidak mempunyai sebarang proses wajar dalam isu kenaikan pangkat.

“Lebih teruk lagi, Lalitha juga seolah-olah menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang melantik saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM selaras dengan undang-undang sedia ada,” katanya.

Azam selaku plaintif memohon injuksi bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan fitnah itu diterbitkan semula.

Selain itu turut memohon supaya defendan memadamkan artikel dan ciapan serta menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Tuntutan itu menyatakan artikel yang diterbitkan pada Oktober dan Disember tahun lalu di portal Independent News Service (INS) juga secara tidak langsung menggambarkan beliau dan adiknya menyokong politik berhaluan kiri dan aktiviti menyalahi undang-undang.

Dakwa Azam lagi, kenyataan mengaitkannya dirinya dengan pemilikan saham secara salah bukan sahaja memfitnah dan mencemarkan tetapi juga berniat untuk menjatuhkan agensi penguatkuasaan berkenaan.

“Artikel fitnah yang diterbitkan itu bertujuan untuk memperlekehkan nama baik, reputasi dan kedudukan saya sebagai seorang individu dan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi menetapkan pada 15 Februari ini bagi pengurusan kes saman tersebut. -MalaysiaGazette