PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PASIR PUTEH – Seorang lelaki berusia 22 tahun yang hilang sejak Isnin lepas ditemukan selamat oleh penduduk kampung di kawasan paya berdekatan perkampungan nelayan Tok Bali di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Ediansha Endal berkata, mangsa Ahmad Zul Mukhriz Zakaria, dijumpai oleh penduduk kampung setelah mendengar suara meminta tolong pada 8.15 malam dan menemui mangsa sedang berpaut pada sebatang pokok dalam keadaan tidak berpakaian.

“Mangsa ketika dijumpai berada dalam keadaan lemah dan terdapat kesan calar di beberapa  bahagian badan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dibantu oleh 44 anggota dan pegawai termasuk daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Lembaga Kemajuan  Ikan  Malaysia (LKIM), Rela serta penduduk kampung.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa hilang tanpa jejak selepas melarikan diri ke dalam hutan berhampiran perkampungan nelayan di Tok Bali, di sini sejak 10 Jan lepas, gara-gara terkejut melihat kereta peronda polis. – Bernama