Foto kredit: Malaysian Football League

KUALA LUMPUR – Pasukan-pasukan menyambut baik beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan Malaysian Football League (MFL) pada musim 2022 terutama format baharu Piala Sumbangsih, Piala FA serta waktu sepak mula bagi perlawanan Liga Malaysia.

Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya yang gembira pendekatan MFL menjadikan perlawanan Piala Sumbangsih sebagai aksi pembuka tirai Liga Super tanpa melibatkan pungutan mata berkata, beliau bersama rakan sepasukan boleh memberi fokus memenangi piala itu tanpa menjejaskan rentak awal Liga Super.

Katanya, ini kerana pemain tidak tertekan apabila perlawanan ini tidak dikira untuk liga.

“Kedua-dua pasukan termasuk JDT (Johor Darul Ta’zim) sudah pasti akan cuba dapatkan momentum di awal musim namun saya harap kami boleh memenangi Piala Sumbangsih,” katanya.

Mengenai waktu sepak mula daripada 9.00 malam kepada 8.15 malam, beliau memberitahu, ia pasti disukai penyokong kerana memudahkan mereka untuk pulang lebih awal sekiranya esok hari bekerja.

“Bagi pemain, kami sudah mula kena biasakan diri dengan menyusun atur rutin harian iaitu sebelum dan selepas perlawanan agar boleh sesuaikan diri dengan sepak mula pada 8.15 malam,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang menyambut baik perubahan itu berkata, sikap kompromi MFL itu sekurang-kurangnya dapat membantu bebanan kos yang ditanggung membabitkan pasukan dari Borneo terutama pada aspek pengangkutan.

“Saya positif dengan cadangan menjadikan format Piala FA hanya berkonsepkan satu perlawanan sahaja sehingga ke perlawanan akhir kerana turut mengambil kira kepentingan persiapan pasukan kebangsaan sepanjang tahun ini.

“Sekurang-kurangnya kita bersyukur Piala FA ini boleh dijalankan selepas dua musim tidak berlangsung ekoran pandemik Covid-19.

“Selain itu, saya berpuas hati melihat jadual yang telah dikeluarkan oleh MFL kerana sedikit sebanyak membantu Sabah mengurangkan kos pengangkutan apabila kami diberi ruang bermain di tempat lawan secara berurutan dalam dua ke tiga perlawanan.

“Jelas MFL memahami tanggungan yang sentiasa dialami pasukan dari Sabah dan Sarawak dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette