Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan ahli kariah masjid merakam dan menyebarkan video seorang anak muda yang ditangkap selepas mencuri tabung masjid di Kilometer 28, Kuang, Rawang tidak sepatutnya berlaku.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, walaupun pemuda itu dimandikan oleh imam masjid bertujuan untuk menghukum dan mendidik, namun ia tidak sewajarnya menjadi tontonan umum.

“Tindakan menyebarkan video pemuda itu kepada tontonan khayalak umum adalah jelas satu perbuatan kurang elok khususnya kepada mental pemuda tersebut.

“Bayangkan video tersebut akan kekal terpapar di media sosial sampai bila-bila, sudah tentu kesan negatif berpanjangan akan kembali kepada pemuda tersebut walaupun telah bertaubat.

“Kesan trauma akan wujud dan harus diingat anak muda itu baru berusia 19 tahun, dengan didikan yang betul pasti mampu bangkit berubah dan berjaya di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, video berdurasi satu minit 25 saat yang tular di media sosial sejak Isnin lepas memaparkan seorang pemuda berkenaan terbaring dimandikan oleh seorang imam sambil disaksikan oleh ahli kariah masjid.

Malah remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah juga dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang semalam kerana cuba mencuri tabung masjid, lima hari lalu.

Dalam pada itu, tindakan menyebarkan video rakaman remaja itu dimandikan boleh dielakkan kerana dia telah pun dijatuhi hukuman oleh pihak mahkamah semalam.

“Mendedahkan aib bukannya mencerminkan ajaran agama Islam yang sebenar.

“Simpati orang ramai kepada pemuda itu juga bukan bermakna menyokong perbuatan mencuri.

“Kenapa video itu didedahkan kepada umum, ini adalah aib dan sudah tentu keluarga pemuda tersebut juga turut menerima kesan negatif.

“Islam sendiri melarang keras daripada membuka aib sesama Islam,” katanya.

Beliau juga sedia membayar denda RM4,000 yang dikenakan mahkamah terhadap pemuda terbabit.

“Setiap bentuk hukuman mestilah berpandukan untuk memberi kesedaran kepada pesalah agar tidak mengulangi lagi kesalahan yang dilakukan.

“Saya akan cuba menghubungi pihak peguam yang membantu pemuda tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast