Covid-19 cases Noor Hisham Abdullah infection
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 486 kes baharu mebabitkan varian membimbangkan (VOC) bagi tempoh 10 Januari sehingga hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 6,246 kes.

Kata beliau, daripada jumlah yang dikesan, 6,226 kes adalah VOC manakala 20 kes
adalah VOI.

“Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak telah mengenal pasti 317 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2) manakala Fakulti Perubatan Universiti Malaya mengenal pasti 84 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta.

“Selain itu, Institut Farmakogenomik Integratif mengenal pasti 58 kes baharu varian Delta dan Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Molecular Biology Institute mengenal pasti 27 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Jelas Noor Hisham, secara keseluruhannya sehingga kini sebanyak 5,726 kes varian Delta direkodkkan, diikuti 253 kes varian Omicron, 233 kes (Beta) dan 14 kes (Alpha).

Katanya, bagi kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Tambahnya lagi, berdasarkan 486 kes baharu positif Covid-19 varian VOC, Sarawak merupakan negeri tertinggi yang mencatatkan sebanyak 317 kes diikuti Pulau Pinang sebanyak 49 kes manakala Perak merekodkan 33 kes.

Selain itu, katanya, sebanyak 18 kes VOC dicatatkan di Negeri Sembilan, Kelantan (16), Selangor (13), Kedah (12), Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Terengganu (5), Johor (5), Melaka (4) dan Perlis (2). – MalaysiaGazette