ISKANDAR PUTERI – Taman air di Legoland Malaysia Resort (Legoland) akan ditutup sementara bermula 12 Januari lalu hingga 21 Januari depan.
Penutupan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga ekoran beberapa kakitangannya disahkan positif Covid-19 semasa pemeriksaan rutin yang dijalankan.
Legoland dalam kenyataan turut memberitahu keputusan itu juga diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan tetamu dan kakitangan.
Langkah itu juga bagi mengekalkan tahap perkhidmatan hospitaliti dan pengalaman tetamu yang tertinggi.
Pada masa ini, Taman Tema Legoland, Sea Life dan Hotel Legoland kekal dibuka dengan semua langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – MalaysiaGazette