Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Dialog Keusahawanan di Pusat Latihan Kejenteraan Pertanian Tanjong Karang, Kuala Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 JANUARI 2022.

TANJUNG KARANG – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dirayu agar memudahkan urusan golongan usahawan untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan mereka daripada terus dikenakan kompaun kerana menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah.

Katanuya, PBT harus mempunyai semangat untuk bersikap belas kasihan terhadap usahawan sebagaimana kerajaan Persekutuan bertolak ansur dalam banyak perkara ketika negara menghadapi pelbagai cabaran ketika ini.

“Saya nak mohon yang pertama dalam keadaaan usahawan yang orang kata baru nak pulih daripada pandemik, baru nak pulih banjir, saya nak minta PBT yang permudahkanlah urusan-urusan untuk mendapatkan lesen perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Latihan Asas Keusahawanan dan sesi dialog bersama beliau, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Noh turut meminta supaya PBT menangguhkan tindakan mengkompuan usahawan-usahawan yang melakukan kesalahan terutama menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

Katanya, kebanyakan mereka baru sahaja “mahu bernafas” untuk meneruskan perniagaan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19 dan ada diantaranya terlibat dengan banjir.

Menurut Noh, PBT perlu bersikap terbuka seperti kerajaan Persekutuan yang boleh membenarkan pemberian moratorium dan ia wajar dicontohi oleh PBT.

Malah, di kementeriannya juga beliau telah mengarahkan supaya tidak ada tindakan undang-undang diambil terhadap usahawan yang ada melakukan kesalahan.

Katanya, memberi nasihat adalah lebih baik daripada terus menghukum mereka dengan cara mengkompaun.

“Jadi, saya harap PBT pun supaya jika adalah mana-mana usahawan yang mungkin berniaga yang tidak ikut peraturan saya minta supaya beri amaran dan nasihat dulu…tak perlulah ambil tindakan kompaun,” ujarnya.

Hari ini, beberapa agensi di bawah MEDAC hadir dalam program yang bertujuan memberi informasi terkini kepada 124 usahawan yang menjalankan pelbagai bentuk perniagaan di sekitar Tanjung Karang.

Turut diadakan sesi dialog bersama peserta dan sesi bertukar-tukar pandangan antara usahawan dengan agensi-agensi yang terlibat. – MalaysiaGazette