Seramai 1,300 pegawai dan anggota PDRM akan terlibat dalam kawalan keselamatan dan pemantauan SOP di sambutan Thaipusam di Batu Caves bermula 16 Januari 2022 - Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed.Foto MalaysiaGazette

GOMBAK – Seramai 1,300 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia akan  mengawal keselamatan dan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Batu Caves sempena sambutan Thaipusam 2022 pada 18 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, sambutan Thaipusam akan  bermula jam 7 petang Ahad ini (16 Januari 2022) hingga 12 tengah malam pada 21 Januari.

Katanya, polis akan memantau pematuhan SOP dalam kalangan penganut Hindu yang terlibat dan menyertai ritual keagamaan di kuil Batu Caves berdasarkan SOP yang digariskan oleh Kementerian Perpaduan Negara serta pengurusan kuil Batu Caves.

“Sebanyak tiga jenis pas kebenaran masuk dikeluarkan pengurusan kuil  iaitu pas kebenaran penganut, pembawa Pallkudam (belanga susu) dan pas ritual sembahyang.

“Mereka yang ada pas berkenaan sahaja akan dibenarkan berurusan di dalam tempat keagamaan ini,” katanya dalam sidang media Palu Sambutan Thaipusam 2022 di IPD Gombak pagi tadi.

Kebenaran ini, tambah beliau, tertakluk kepada mereka yang sudah mengambil vaksin penuh serta berusia 18 tahun ke atas.

Aktiviti membawa kavadi sepanjang sambutan Thaipusam adalah dilarang sama sekali dan polis tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan kompaun terhadap mana-mana penganut yang melanggar peraturan berdasarkan Akta 342 yanga ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sehubungan itu, semua penganut dan orang ramai yang hadir untuk ritual keagamaan sempena Thaipusam perlu mematuhi SOP sepanjang masa iaitu mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka sepanjang masa secara betul, dan mengimbas suhu serta kod Qr My Sejahtera tanpa sebarang ketirisan.

Tambah beliau, kawalan keselamatan dan pematuhan SOP sepanjang tempoh sambutan itu akan dibantu oleh Hospital Selayang, Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Persatuan Bulan Sabit Merah, Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Antidadah Kebangsaan, Keretapi Tanah Melayu dan Jabatan Kerja Raya.

Selain itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dengan kekuatan 10 pegawai dan 308 anggota pegawai rendah akan terlibat dalam tugas penutupan tujuh jalan dan persimpangan jalan di sekitar Kuil Batu Caves bermula 7 petang esok (16 Januari) hingga 12 tengah malam 21 Januari ini.

Tujuh laluan itu adalah lampu trafik Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah MRR@ ke Kuil Batu Caves, Jalan Batu Caves Lama ke pintu masuk utama kuil, simpang 3 lampu isyarat Sri Batu Caves hadapan Stesen Minyak Shell, simpang tiga Jalan SBC 8/ Jalan Batu Caves Lama, susur MRR2 dari Seri Gombak ke susur perusahaan, dan akhirnya Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves.

Bagaimanapun, beberapa laluan alternatif telah dibuka untuk kelancaran trafik dan urusan masyarakat sekitar kawasan Gombak dan Batu Caves sepanjang sambutan itu.

Dalam pada itu, Zainal berkata, perarakan pedati yang membawa patung Dewa Murugan dari Jalan Tun H.S. Lee akan menuju ke Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves hanya akan diiringi 10 ahli pengurusan kuil sahaja dan mereka wajib berdaftar dengan pengurusan kuil bagi memiliki tag kebenaran.

Perarakan itu juga hanya dibenarkan berhenti di 10 lokasi perhentian yang ditetapkan dengan kebenaran PDRM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis juga akan memantau  jumlah kehadiran yang tidak boleh melebihi had 6,000 orang setiap hari yang melibatkan 12 sesi sembahyang (terhad 500 orang satu sesi) pada 16, 17 dan 19 Januari ini bermula jam 5 pagi hinga 5 petang manakala pada 18 Januari 2022 18 sesi itu kan diadakan bermula 5 pagi hingga 11 malam

“Setiap sesi dibenarkan selama 30 minit diikuti 30 minit seterusnya bagi kerja sanitasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast