Shaharuzzaman Bistaman.

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa menubuhkan satu badan bertindak bagi isu pengambilan tanah milik kerajaan dan dibina rumah ibadat bukan Islam di dalam gua di Kinta, Perak.

Pengerusi Badan Perhubungan Berjasa Perak, Shaharuzzaman Bistaman berkata, badan bertindak itu dikenali Sekretariat Pertahankan Tanah Rakyat turut melibatkan beberapa badan bukan kerajaan.

Kata beliau, pihaknya mengambil maklum insiden penarikan balik surat perintah pengusiran yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak kepada 19 tokong yang dibina di atas tanah hak milik kerajaan.

Lebih malang, katanya, keputusan penarikan balik itu dibuat rentetan dari desakan dan dialog dengan MCA dan pihak kuil tanpa sebarang alasan kukuh.

“Sedangkan keputusan Pejabat Tanah dan Galian Perak pada awalnya cukup jelas iaitu tanah yang didirikan itu adalah hak milik kerajaan.

“Ini bermakna, tokong yang dibina itu jelas sekali telah menceroboh dengan sewenangnya,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, PTG Perak telah mengeluarkan notis pengusiran kepada 19 tokong yang dibina dalam gua di Kinta itu, tetapi ditarik balik atau dibatalkan selepas dialog dengan MCA.

PTG negeri itu dikatakan membuat u-turn dengan bersetuju bahawa beberapa tokong gua itu penting dari segi budaya dan sejarah.

Sehubungan itu, menurut Shaharuzzaman, Berjasa menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bertegas dalam isu berkenaan dan akur dengan arahan yang telah dikeluarkan PTG.

Katanya, parti itu memandang insiden berkenaan sebagai rentetan siri pencerobohan berpuluh-puluh ribu hektar tanah hutan simpan dan tanah rizab kerajaan.

“Amat malang sekali apabila isu ini diambil enteng tanpa tindakan tegas dari pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette