Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Supt. Dr. Bakri Zainal Abidin memeriksa penunggang motosikal di laluan Selayang semasa mengadakan dalam Ops Utama P-Hailing Lampu Merah di hadapan dengan Pasar Selayang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 2,500 saman ke atas penghantar penghantaran makanan (p-hailing) kerana kesalahan melanggar lampu merah tahun lepas.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, saman tersebut dikeluarkan menerusi Ops Merah selepas mendapati mereka sengaja melakukan kesalahan tersebut.

“Kita mengadakan Ops Merah sebab p-hailing yang menghantar barang ini mereka kejar trip, tapi mereka tak kisah pun dengan Ops Merah ke atau operasi lampu merah.

“Daripada operasi merah ini kita dapati memang banyak p-hailing yang kita ambil tindakan.

“Mereka ini sewenang-wenangnya melanggar lampu merah walaupun itu membahayakan diri mereka sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Ketua Pengarah JPJ dan Perhimpunan Setia JPJ Tahun 2022 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah-langkah yang diambil oleh JPJ dalam menangani kes kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal p-hailing.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zailani berkata, beliau tidak berbangga dengan jumlah pengeluaran saman yang banyak oleh JPJ ke atas pengguna jalan raya termasuk mereka yang terlibat dalam perkhidmatan p-hailing.

Yang lebih penting bagi JPJ ialah mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya yang menjadi pembunuh ketiga negara.

Dalam usaha menangani kes-kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal p-hailing, JPJ katanya  mengadakan advokasi dengan syarikat-syarikat berkenaan dalam usaha mendidik penghantar makanan mematuhi peraturan jalan raya.

Usaha tersebut dilaksanakan bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan ia dilakukan secara konsisten.

Seramai 10,360 p-hailing terlibat dalam aktiviti itu dengan semua gerak atur serta pengisian program disediakan oleh pihak JKJR. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast