Zulkiflee Rashid

MELAKA – Seorang wanita hamil dua bulan yang juga penjawat awam dan suaminya berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas dipercayai mengedar dadah sejak sebulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, kedua-dua suspek berusia 29 tahun diberkas polis dalam satu serbuan hasil maklumat awam di rumahnya di Pulau Gadong, di sini awal pagi semalam.

Hasilnya, polis merampas sebanyak 42 gram dadah dipercayai syabu dan juga empat biji pil disyaki pil yaba keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4,240.

“Isteri lelaki terbabit merupakan penjawat awam sebuah agensi di Melaka manakala suaminya bekerja sebagai buruh.

“Siasatan awal mendapati, suspek lelaki mengakui mula aktif menjual dadah sejak sebulan lalu dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suami positif syabu manakala isterinya negatif dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama Zulkiflee berkata, seramai empat penjawat awam telah ditangkap atas kesalahan dadah sepanjang tahun ini sehingga semalam.

“Semua mereka terlibat dalam penyalahgunaan pelbagai jenis dadah berdasarkan rampasan 1,248 gram ganja, 48.95 gram syabu, empat biji pil yaba dan 27.6 liter air ketum.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM8,331 dan disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2), 39(A)(1) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – MalaysiaGazette