Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak pelik dengan beberapa parti politik yang ugut untuk turun ke jalan-jalan raya untuk membuat protes besar-besaran.

Rasa pelik itu ditujukan kepada Parti Pejuang Tanahair, Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara, DAP dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)

Sedangkan, dalam kalangan parti yang membuat ugutan itu membantah pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Pilihan Raya Umum dengan alasan pandemik Covid-19, biarpun PRN Melaka dan Sarawak tidak menaikkan kes pelik.

”Saya pelik. Adakah Covid hanya berjangkit pada pengundi tetapi tak ancam protes jalan raya?,” soal bekas perdana menteri itu.

Lantaran itu, beliau meminta penjelasan parti-parti berkenaan mengenai perkara tersebut.

Parti-parti tersebut dipercayai turut menganggotai kumpulan dan pemimpin belia politik yang akan turun ke jalanan di Kuala Lumpur pada Sabtu ini sebagai protes terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki bagi menggesa penahanannya.

Gabungan 25 kumpulan yang membentuk Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki akan berkumpul di luar pusat beli-belah SOGO pada 11 pagi untuk menuntut beliau ditangkap serta-merta, proses undang-undang ke atasnya dimulakan segera dan SPRM diletakkan bawah bidang kuasa Parlimen. – MalaysiaGazette