PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kematian orang kena tahan (OKT) di dalam lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kelmarin disebabkan paru-paru berair.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia, Datuk Azri Ahmad berkata, ia adalah hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, semalam.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dan punca kematian adalah paru-paru berair.

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan.

Semalam, dalam kenyataannya, Azri berkata, tahanan lelaki warga tempatan berusia 37 tahun itu meninggal dunia pada jam 4.35 petang.

OKT itu telah ditangkap di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah direman selama empat hari bermula 16 Januari sehingga 19 Januari di Mahkamah Kota Bahru, Kelantan. – MalaysiaGazette