Tapak premis kitar semula dan besi buruk berhampiran kawasan penempatan penduduk. - Gambar ihsan SAM

NIBONG TEBAL – Gangguan bunyi dari tapak pengumpulan bahan kitar semula dan besi buruk di kawasan Lima Kongsi, Sungai Bakap, di sini, menyebabkan segelintir penduduk terpaksa berpindah.

Tidak cukup dengan itu, rata-rata penduduk bimbang akan faktor kesihatan mereka memandangkan tapak pengumpulan bahan kitar semula itu terletak kira-kira 100 meter dari lokasi penempatan penduduk.

Menurut Setiausaha Sahabat Alam Malaysia (SAM), S. Mageswari, pihaknya menerima aduan daripada penduduk yang kurang senang dengan tapak pelupusan yang sudah beroperasi sejak setahun lalu itu.

Mageswari.

“Penduduk mendakwa terganggu dengan bunyi bising hentakan dari tapak premis berkenaan yang kononnya dilakukan bagi mendapatkan besi di dalam bahan batuan konkrit.

“Aktiviti terbabit adakalanya berlarutan sehingga jam 8 malam setiap hari dan mengganggu ketenteraman penduduk khasnya kanak-kanak yang sedang belajar menerusi kelas dalam talian dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Pejabat CAP, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mageswari berkata, selain bunyi bising penduduk juga mendawa berhadapan dengan masalah debu dan habuk dari kenderaan yang kerap melalui jalan utama.

“Masalah keadaan habuk dan debu yang berterbangan itu semakin serius ketika musim panas dan menyebabkan kebanyakan kediaman penduduk diselaputi debu pasir malah mereka juga khuatir dengan masalah kesihatan pada masa depan.

“SAM dimaklumkan bahawa aktiviti ini dijalankan di atas tanah persendirian, namun ia adalah tidak sesuai memandangkan terlalu hampir dengan kawasan penduduk.

“Kita juga sudah menulis surat kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berhubung isu ini sebulan yang lalu, namun tiada respon sehingga kini,” tegasnya.

Sehubungan itu, SAM menggesa MBSP, Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Selatan dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan terhadap masalah yang timbul daripada aktiviti pemprosesan dari tapak pengumpulan kitar semula dan besi buruk itu. – MalaysiaGazette