KUALA LUMPUR – Fenomena langgar lampu isyarat merah oleh pengguna jalan raya mahupun pengguna lintasan pejalan kaki sudah seperti perkara biasa.

Sekiranya terjadi kemalangan akibat daripada tidak patuh lampu isyarat merah, barulah masyarakat akan cakna untuk mengikut peraturan.

Itu pandangan Rezal Ismail, 48, selepas menyaksikan terdapat pengguna jalan raya yang tidak memberhentikan kenderaan apabila lampu isyarat bertukar merah di Sungai Besi, hari ini.

Rezal Ismai

“Betul ada laluan pejalan kaki, tapi ramai yang langgar lampu isyarat ini sebenarnya. Kalau kita perhati, mereka tak peduli pun orang yang berjalan kaki melintas ni sebab ini bukan laluan utama,” katanya kepada MalaysiaGazette semasa membuat tinjauan pematuhan lampu isyarat.

“Nanti kalau ada orang kena langgar, baru nak beri perhatian,” tambahnya.

Menurut Helmi Aziri, 32, tabiat buruk melanggar lampu isyarat merah yang sekian lama dilakukan itu terkait dengan mentaliti dan kesedaran sivik rakyat di negara ini.

Katanya, pengguna jalan raya hanya mengejar lampu isyarat hijau dan tidak memberi keutamaan terhadap keselamatan pengguna lain, seperti mereka yang berjalan kaki.

Helmi Aziri

“Mungkin disebabkan keadaan (lokasi) jalan juga. Mungkin mereka (pemandu) nak cepat. Jadi itu mungkin antara faktor utama mengapa mereka langgar lampu merah,” tambahnya.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan yang dilakukan, pengguna pejalan kaki turut tidak terkecuali melakukan perkara sama, meskipun terdapat lampu isyarat untuk kemudahan mereka melintas secara selamat.

Ini kerana peluang melintas jalan sudah berada di hadapan mereka, jalan yang lengang dan tiada kenderaan lalu walaupun lampu isyarat masih hijau.

“Memang ada lampu isyarat untuk pejalan kaki. Kadang mereka ikut, kadang mereka langgar sahaja lampu isyarat tu. Kita yang memandu pun nak kena memberhentikan kenderaan semata-mata untuk pejalan kaki yang tak mematuhi lampu isyarat,” kata Norashila Tahir Zaidon.

Norashila Tahir Zaidon

“Senang je, ikut lah peraturan,” tambah wanita yang berusia 24 tahun ini..

Saban hari media melaporkan Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (BSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi pematuhan lampu isyarat dan mengeluarkan saman kepada mereka yang ditangkap melakukan kesalahan.

Namun, mungkin juga denda melanggar lampu isyarat merah yang dikenakan kerajaan sebanyak RM300 dipandang terlalu kecil oleh masyarakat.

Tidak rugi menunggu walaupun dua minit ketika lampu isyarat bertukar merah, demi mengelak kemalangan yang tidak diduga. -MalaysiaGazette