Logo Petronas.

KUALA LUMPUR – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) bakal membina loji melamina berkapasiti 60,000 tan setahun di Gurun, Kedah, sekaligus menjadikannya pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara.

Loji ini disasarkan mula beroperasi pada tahun 2024, sejajar dengan pelan pertumbuhan PCG untuk berkembang ke derivatif dengan menambah nilai kepada molekul produk sedia ada seperti urea, metanol, poliolefin dan lain-lain.

PCG, melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas Chemicals Fertiliser Kedah (PCFK) pula akan menggunakan urea yang dihasilkan daripada PCFK sebagai bahan mentah untuk menghasilkan melamina.

“Ini merupakan pencapaian penting bagi PCG dan mengukuhkan lagi strategi kami untuk mempelbagaikan portfolio produk kami.

”Dengan menempatkan loji dalam kawasan yang sama dengan PCFK, kami akan dapat memaksimumkan nilai keseluruhan melalui integrasi bahan mentah dan utiliti dengan kemudahan PCFK sedia ada,” kata Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG dalam kenyataan. – MalaysiaGazette