PH mengambil masa kira-kira satu jam dalam perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengadakan pertemuan kira-kira satu jam dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pertemuan yang diadakan di Parlimen itu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim antaranya membincangkan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti.

“Kami bangkitkan soal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentang dalam sesi Parlimen akan datang.

“Turut dibincang perihal rasuah yang semakin menggila serta langkah pasca banjir yang dihadapi sebelum ini,” jelas Anwar di Facebook hari ini.

Turut bersama Anwar adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Awal hari ini, kerajaan pimpinan Ismail Sabri bersetuju membentang dan memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH, semalam.

Bulan lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, rang undang-undang anti lompat parti itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Julai ini.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada terdapat keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan atau mewujudkan undang-undang baharu sebelum rang undang-undang anti lompat parti boleh dibentangkan. – MalaysiaGazette