Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah penubuhan Suruhanjaya DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu seiring dengan perjuangan sayap UMNO itu sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan institusi dan kepentingan umat Islam terpelihara.

“Menjunjung kasih ke atas DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong atas perkenan penubuhan Suruhanjaya DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu Pengurusan dan Operasi Tabung Haji.

“Pemuda UMNO antara yang paling konsisten menuntut penubuhan RCI ini sejak tahun 2019 lagi.

“Ia bagi memastikan institusi milik umat Islam ini terus terpelihara, terbela dan tidak diperkotak-katikkan atas apa jua tujuan,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook hari ini.

Semalam, kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi penubuhan RCI untuk menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Beliau berkata, Seri Paduka juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams), Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon. – MalaysiaGazette