KUALA LUMPUR – Bekas penyerang Kedah dan JDT kini kembali ke negeri kelahirannya dengan diberi peranan berbeza bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Menurut Naib Presiden SAFA, Dato Jelani Hamdan, pemain kelahiran Papar itu dilantik sebagai Penolong Ketua Panel Pemilih & Pencari Bakat Sabah FC merangkap Ketua Media U21 pasukan itu .
“Dengan pelantikan ini beliau secara langsung terlibat membimbing dan melatih bakat-bakat baharu (dari Sabah,” ujar Jelani melalui perkongsian di Facebook peribadinya.
Di dalam skuad B-21 Sabah FC yang akan bermain di Piala Presiden pada tahun ini, Rozaimi akan digandingkan dengan legenda bola sepak negeri itu, Matlan Marjan untuk mempersiapkan pasukan yang mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain di pertandingan tersebut.
Diberikan peranan untuk membina skuad Piala Presiden Sabah FC tidak bermakna Rozaimi tidak lagi mempunyai peluang meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional selepas ini.
Menurut Jelani lagi, Rozaimi akan tetap diberikan peluang meyakinkan Ketua Jurulatih skuad utama Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk kembali beraksi di saingan Liga Malaysia.
Seperti mana pemain lain, Rozaimi sebelum itu harus membuktikan kemampuan dan tahap kecergasannya berada di tahap terbaik untuk kembali beraksi di padang.
Rozaimi juga sebenarnya bukan watak asing bagi Ong Kim Swee kerana pernah menyarung jersi skuad Harimau Muda kendalian jurulatih itu sekitar tahun 2013, dan merupakan bekas anggota skuad B-23 negara.
Selain daripada JDT dan Kedah, Rozaimi turut pernah menyarung jersi pasukan Selangor dan Sarawak di saingan Liga Malaysia.
Nama Rozaimi sebelum ini dianggap sebagai antara bakat muda terbaik pernah dimiliki oleh negara. Malah kelibatnya di hadapan gawang pasukan lawan pernah membuatkan beliau digelar ‘Neymar Malaysia’
Dilepaskan oleh JDT pada 2020, Rozaimi kemudiannya menyertai Kedah pada musim lalu dalam usaha menghidupkan kembali karier sebagai pemain profesional.
Rozaimi sempat melakukan sembilan penampilan bersama pasukan dari utara tanah air itu sebelum kontrak beliau bersama Kedah ditamatkan secara persetujuan bersama. – MalaysiaGazette