Dari kiri Justin Wong, Calvin Chong dan Adrian Lasimbang.

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP Sabah dan seorang bekas senator mengambil keputusan keluar dari parti malam tadi.

Kedua-duanya adalah ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin dan ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun.

Seorang lagi adalah bekas senator dari parti itu, Adrian Lasimbang.

Menurut kenyataan dikeluarkan, mereka bertindak demikian kerana kecewa dengan kepimpinan DAP yang dikatakan gagal membela nasib rakyat Sabah.

“Kami berjuang dalam politik demi untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur lebih baik, malah paling penting lagi masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.

“Malangnya, parti yang kami perjuangkan ini gagal mencapainya perjuangan itu,” kata mereka menerusi satu kenyataan bersama malam tadi.

Dalam kenyataan itu juga, mereka menyatakan rasa kecewa dengan kepemimpinan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Foon.

Katanya, pemimpin mereka itu kurang menunjukkan kepercayaan dalam jawatankuasa negeri menyebabkan perjuangan parti tidak berjalan lancar.

Berikutan tindakan itu, DAP Sabah kini mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (DUN Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (DUN Luyang), Jannie Lasimbang (DUN Kapayan) dan Tan Lee Fatt (DUN Likas).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, DAP Sabah bertanding di tujuh kerusi, tetapi kalah satu kerusi di DUN Bingkor .

Selain DAP Sabah, Parti Warisan Sabah (WARISAN) juga sudah kehilangan lima ADUN termasuk yang terbaharu ADUN Melalap yang juga bekas Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast