Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakharuddin Arif meninjau stesen pemancar di Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

KUANTAN – Penduduk Kuala Lipis dekat sini kini menikmati internet semakin baik setelah dinaik taraf  ke rangkaian 4G bermula November tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Fakharuddin Arif berkata, sebanyak 52 menara baharu dengan liputan 4G akan dibina dan  empat daripadanya telah pun beroperasi.

“Manakala baki 48 menara lagi dalam proses kajian tapak dan mendapatkan kelulusan tanah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Daerah Lipis.

“Sebanyak 146 stesen pemancar sedia ada di sini akan dinaik taraf kepada rangkaian 4G. Sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 102 stesen pemancar telah berjaya dinaik taraf termasuk di Kampung Peruang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Fakharuddin, baki pelaksanaan projek JENDELA dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022.

“Perkhidmatan capaian internet yang lebih baik dan meluas dinikmati penduduk bukan sahaja di Lipis malahan di kebanyakan kawasan di seluruh Pahang,” katanya.

Terdahulu, penduduk Kampung Peruang di Kuala Lipis sebelum ini telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia berkenaan masalah liputan internet yang dihadapi mereka.

Perkara itu juga mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak yang telah mengusulkan perkara berkenaan ketika Sidang Dewan Negeri Pahang yang lepas. – MalaysiaGazette