Dell Akbar Khan

PETALING JAYA- Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya mendapati kekurangan keharmonian dengan wujudnya pecahan dalam pasukan kebangsaan, menjadi antara faktor prestasi hambar di Piala AFF 2020 di Singapura.

Pengerusi badan siasatan itu Datuk Dell Akbar Khan berkata, pemain skuad Harimau Malaya mempunyai  tiga ‘puak’ ketika di Singapura, iaitu berpecah mengikut kumpulan pemain tempatan, naturalisasi dan warisan.

Siasatan itu turut merungkai bahawa persiapan singkat pasukan yang jelas tidak cukup, iaitu hanya sehari latihan pusat yang lengkap sebelum bertolak ke Singapura, turut menjadi punca kegagalan dan tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Ia berikutan jadual Piala Malaysia 2021 yang berlangsung sehingga 30 Nov, iaitu hanya enam hari sebelum sepak mula aksi sulung menentang Kemboja pada 6 Dis.

Dell Akbar berkata ia merupakan antara 10 dapatan badan siasatan itu, selepas menemuduga beberapa pihak termasuk pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), barisan kejurulatihan dan pemain, selain turut mengakui mengalami kekangan masa dan menerima laporan yang tidak lengkap, terutama melibatkan bahagian teknikal.

Dell Akbar yang merupakan bekas Setiausaha Agung FAM dan pemain kebangsaan, turut sedih apabila bekas jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe tidak dapat hadir ke sesi temu duga, dan hanya dapat menghubunginya menerusi telefon.

“Kami mendapati Cheng Hoe tidak mendapat sebahagian besar khidmat pemain utama kerana beliau beranggapan tidak dapat memanggil beberapa pemain utama daripada beberapa kelab, manakala jawapan daripada Presiden FAM Hamidin Mohd Amin pula bercanggah dengan jurulatih yang berkata boleh mendapatkan mana-mana pemain.

“Satu lagi dapatan kita ialah penetapan sasaran yang dilakukan secara sendirian atau ‘silo’ oleh pengurus pasukan (Datuk Mohd Yusoff Mahadi), yang menjadi satu bentuk tekanan kepada pasukan kejurulatihan dan pemain,” katanya pada sidang media di Wisma FAM di sini, hari ini.

Beliau berkata badan siasatan bebas mendapati kehadiran pemain naturalisasi, Guilherme de Paula tidak memberikan impak yang besar kepada skuad Harimau Malaya di Piala AFF, yang saingannya lebih intensif berbanding liga domestik.

Kelemahan lain yang ditegur ialah kemampuan pemain yang tidak dapat bersaing di peringkat antarabangsa, percaturan taktikal, kekurangan pasukan sokongan seperti sains dan perubatan sukan, serta kebajikan pemain.

Dell Akbar juga menggariskan 10 cadangan penambaikan (cadangan) untuk pertimbangan FAM supaya kegagalan itu tidak berulang pada masa hadapan.

Ia termasuk menetapkan tempoh minimum 14 hari latihan pusat untuk menghadapi Piala AFF, menyediakan templat laporan yang lebih komprehensif, pelan kontigensi untuk menangani pandemik COVID-19 dan memastikan MFL menyesuaikan jadual liga dengan jadual pasukan kebangsaan.

Mereka juga mencadangkan untuk mewujudkan pasukan prestasi tinggi yang terdiri daripada kakitangan teknikal, sains dan perubatan sukan, penganalisa serta pegawai statistik, seperti yang digunakan di luar negara untuk meningkatkan prestasi pasukan secara lebih berstruktur dan berdasarkan bukti.

“Kita juga berpendapat bahawa tidak perlu meneruskan amalan pelantikan pengurus pasukan dalam kalangan pegawai FAM, jawatan itu seharusnya diberikan kepada ketua jurulatih. Jawatan Ketua Delegasi sebaliknya boleh diperkenalkan jika perlu, dan terhad bagi tugas-tugas acara rasmi sahaja,” katanya.  – MalaysiaGazette