MACC MITRA Funds Malaysian Indian Transformation Unit Ministry of National Unity B40
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 22 individu untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan dana peruntukan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Kebanyakan mereka yang ditahan membabitkan pengarah syarikat, presiden serta setiausaha persatuan dan pertubuhan dalam satu operasi khas bernama Ops Mitra 2.0 yang dijalankan oleh SPRM.

Menurut sumber, seramai enam daripada mereka terlibat telah berjaya ditahan reman antara empat hingga enam hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret di Selangor, Kedah dan di Putrajaya.

Manakala seramai 16 individu lagi telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Operasi dilaksanakan di tujuh negeri iaitu di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka semalam.

Sumber menambah, sebelum ini hasil siasatan telah mengenal pasti sebanyak 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah diluluskan geran peruntukan tersebut sejak tahun 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah lebih kurang RM203 juta.

Tumpuan siasatan SPRM telah membabitkan dua fasa di mana Fasa 1.0 memberi tumpuan kepada 27 buah syarikat, persatuan dan NGO yang telah menerima peruntukan antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Pada Oktober 2021, SPRM telah menahan 18 orang yang melibatkan 10 buah syarikat, pertubuhan dan NGO bagi membantu siasatan penyelewengan yang sama.

Operasi turut menumpukan kepada baki 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan yang telah menerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.

Menurut sumber lagi, selain tindakan itu, SPRM juga telah bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM1 juta.

Fokus siasatan dalaman itu akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan MITRA dari tahun 2019 hingga 2021.

Menurut sumber, peruntukan paling tinggi yang diluluskan ialah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta. Ia diluluskan kepada 205 syarikat, persatuan dan NGO.

Daripada jumlah tersebut, terdapat lapan syarikat dikenalpasti memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan operasi dan tangkapan tersebut sambil menambah siasatan sedang diteruskan.- MalaysiaGazette